Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (dua kanan) menunjukkan rampasan sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine dengan berjumlah RM14.9 Juta ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 02 MAC 2023.

SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merekodkan kejayaan besar dengan merampas sebanyak 503 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis Methamphetamine di Rawang, Selangor.

Dalam rampasan kira-kira jam 1 tengah hari pada Selasa lalu, anggota polis turut menangkap dua lelaki berusia 22 dan 33 tahun yang membawa 10 bungkusan guni putih dipercayai untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Hussein Omar Khan, dalam bungkusan guni itu mengandungi 503 bungkusan plastik berwarna keemasan bertulis ‘Freeze-Dried Durian’.

Katanya, hasil pemeriksaan itu, pihaknya menganggarkan dadah jenis Methamphetamine seberat 451.215 kilogram disembunyikan dalam sebuah kereta jenis Nissan Navara.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap dua suspek yang dipercayai warga tempatan itu didapati negatif.

“Kedua suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39A(1), 12(2), 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Nilai rampasan dadah ini berjumlah kira-kira RM14.9 juta dan dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Menurut Hussein, tindakan juga diambil di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988, yang mana polis sedang menjalankan siasatan untuk mengesan dan menyita harta yang diperolehi hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Kata beliau, kedua suspek itu ditahan reman selama tujuh hari bermula 1 hingga 7 Mac ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kes disiasat bawah Seksyen 39B ADB 1952, yang jika sabit kesalahan akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

“Rampasan sebanyak ini boleh dibekalkan kepada kira-kira 2.1 juta pengguna syabu dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian 0.2 gram seorang dan kita percaya ini diseludup dari negara jiran berdasarkan siasatan awal ia diambil dari sempadan Kelantan,” katanya.

Beliau mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat jenayah terutama berkaitan dadah kepada polis dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah secara habis-habisan. – MalaysiaGazette