Gambar Hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, mengekalkan hukuman penjara lapan tahun dan didenda RM977,560 terhadap 10 kesalahan rasuah yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini.

Tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang dipengerusikan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan akhir oleh tertuduh bagi mengetepikan hukuman terhadapnya.

Turut bersidang, Hakim M. Nantha Balan dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Kata Hanipah, setelah meneliti rayuan yang dikemukakan itu, tiada kekhilafan dilakukan oleh Mahkamah Sesyen dalam menyabitkan dan menjatuhkan kepada pemohon.

“Keputusan Mahkamah Sesyen kekal, tidak ada kekilafan daripada hakim bicara yang memerlukan sebarang campur tangan daripada Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan.

“Sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan dan rayuan ditolak,” katanya pada prosiding hari ini. 

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM977,560 ke atas Abd. Ghani sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan hukuman sama terhadapnya pada Disember 2012.

Abd Ghani dalam sembilan pertuduhan didakwa dengan menggunakan jawatan Ahli Jawatankuasa Tender Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sekitar 2006 memperoleh suapan daripada seorang kontraktor Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) berjumlah RM193,512.

Suapan itu sebagai balasan menolong Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada MPAJ.

Bagi satu lagi pertuduhan, Abd. Ghani didakwa memperoleh suapan bagi dirinya iaitu pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai sub kontraktor kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn. Bhd. yang mana dia mempunyai kepentingan dalam Syarikat Lembah Rimbun, di No. 27, Jalan Pandan 7, Pandan Jaya pada 1 Mei 2006.

Ia sebagai upah menolong Syarikat Dwisakti Mewah Sdn. Bhd. mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan Bandar Pandan Indah daripada MPAJ.

Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) dan Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Tertuduh juga telah membayar denda yang dikenakan terhadap iaitu RM977,560 dan kini akan menjalani hukuman penjara di Kajang bermula hari ini. – MalaysiaGazette