Peguam mewakili Loh Siew Hong, Gunamalar Joorindanjn.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menetapkan 5 April depan bagi keputusan permohonan prosiding komital oleh ibu tunggal yang mana tiga anaknya telah ditukar agama oleh bekas suami, Loh Siew Hong.

Pada 20 September 2022, Siew Hong memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi memulakan prosiding komital terhadap Muhammad Nagahswaran Muniandy yang sebelum ini melarikan diri dan menukar agama tiga anak mereka.

Prosiding komital adalah prosiding untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap seseorang yang dikatakan  menghina mahkamah dengan melanggar perintah yang telah dikeluarkan.

Mana-mana individu yang didakwa menghina mahkamah boleh dipenjarakan.

Peguam mewakili Siew Hong, Gunamalar Joorindanjn berkata, hakim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pada prosiding hari ini.

“Kita telah failkan satu prosiding penkomitalan bagi pihak anak guam kami, Siew Hong dan telah ditetapkan pendengarannya hari ini.

“Tujuan utama pengkomitan ini difailkan adalah kerana keengganan bekas suami Siew Hong patuh beberapa perintah mahkamah sebelum ini yang mana hak jagaan anak-anak telah diberikan kepada anak guam kami tetapi bekas suaminya telah menghilangkan diri bersama-sama anak-anak.

“Ketidakpatuhan perintah Mahkamah adalah suatu penghinaan terhadap Mahkamah dan harus di ingat, ini adalah satu kesalahan jenayah serius,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini Hakim Evrol Mariette Peters memberikan kebenaran tersebut selepas mendengar permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan Siew Hing.

Sebelum ini, ketika berhujah Gunamalar berkata, Muhammad Nagahswaran melanggar perintah mahkamah apabila melarikan tiga anak mereka iaitu pasangan kembar perempuan berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Siew Hong berpisah dengan Muhammad Nagahswaran pada Mac 2019 yang mana wanita itu telah diberikan hak penjagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021.

Pada 7 Julai 2019, lelaki terbabit dilaporkan melarikan tiga anaknya ketika ketiadaan bekas isteri dan menukar agama sebelum menempatkan kesemua anaknya di pusat kebajikan di Perlis.

Pada 21 Februari lalu, tiga beradik itu diserahkan dengan serta merta kepada Siew Hong selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast