KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah menghantar surat permohonan menyertai Perikatan Nasional (PN), kata Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Beliau berkata, surat permohonan itu telah dihantar kepada Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan salinan kepada Timbalan Pengerusi yang juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.
Menurut Mukhriz, keputusan itu tidak dibuat berseorangan, sebaliknya mendapat persetujuan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang dalam mesyuaratnya dua hari lalu.
“Keputusan ini telah disepakati MEP selepas meneliti dan menilai semua opsyen gabungan atau kerjasama politik yang ada.
“Perjuangan PN adalah sesuai dengan mandat yang kami perolehi dari Perhimpunan Agung Pejuang kali ke-2 baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
MEP dalam keputusan tiga perenggan telah membuat pertimbangan antaranya, adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi yang ditandingi, lebih-lebih lagi jika lambang berasingan digunakan oleh kedua pihak yang berpakat.
Kedua, lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN dan bertanding menggunakan lambang PN, yang bermakna kesepakatan parti itu dengan PN tidak terhad hanya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung Jun ini, tetapi juga untuk jangka masa panjang.
Ketiga, penyertaan Pejuang sebagai anggota komponen PN adalah untuk memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya yang mendatang.
Dalam masa sama, Mukhriz berharap kepimpinan PN akan mempertimbangkan dan memberi respon yang positif kepada permohonan parti itu.
Pada PRU lalu, Pejuang yang salah satu gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) kalah di semua 125 kerusi yang dipertandingkan.
Lebih malang, pada 10 Februari lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keluar dari parti itu bersama 12 ahli lain, sekali gus meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Pejuang.
Keputusan itu dibuat berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan GTA kerana merancang untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH) atau PN.
Bagaimanapun, Pejuang memilih PN sebagai gabungan untuk menghadapi PRN di enam negeri dan PRU ke-16 akan datang. – MalaysiaGazette