KUALA LUMPUR – Pemilihan UMNO yang sedang berlangsung menyaksikan pertembungan lapan calon bagi merebut kerusi Naib Presiden.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sebanyak dua calon Naib Presiden akan mempertahankan kerusi tersebut bersama-sama enam calon lain, termasuk calon muka baharu.
“Lapan yang mengemukakan borang termasuk calon lain bernama Mohd Yusof Musa. Beliau boleh bertanding dan semua layak bertanding.
“Pencalonan yang ditolak adalah di sayap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sebanyak tiga calon atas isu tidak layak,” katanya kepada media di lobi Menara Dato’ Onn, hari ini.
Yusof yang merupakan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri pernah bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti 2018, bagaimanapun tidak mendapat sebarang undi.
Tujuh calon itu adalah Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Seorang lagi calon iaitu Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menarik diri dan bertanding kerusi MKT UMNO.
Jelas Shahrir, proses mencabut nombor undi berjalan lancar dan selesai jam 6.30 petang tadi melibatkan Exco ketiga-tiga sayap, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Naib Presiden.
Sejumlah 24,910 calon mengemukakan borang pencalonan masing-masing bagi semua jawatan di peringkat Pemilihan UMNO kali ini.
Ia terdiri 381 calon di peringkat MKT dan Exco ketiga-tiga sayap dengan 24,509 calon adalah di peringkat bahagian.
Untuk kerusi Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Sharizat Abdul Jalil sah menentang penyandang kerusi berkenaan iaitu Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Manakala kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menyaksikan empat calon bertanding iaitu Datuk Armand Azha Abu Hanifah, Meor Hassan Mat Ali, Dr Muhamad Akmal Salleh dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Bagi kerusi Ketua Pergerakan Puteri pula menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin; Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr Masliha Harun dan Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi.
Baki dua calon lain adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan. – MalaysiaGazette