LANGKAWI – Sarfarizmal Md Saad menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Langkawi dalam sesi pemilihan parti itu bagi penggal 2023-2026.
Keputusan itu diambil bagi membuktikan amalan demokrasi dalam parti itu masih kekal wujud dengan sihat.
Menurutnya, tekad itu bagi memberi nafas baharu yang berkualiti untuk pergerakan berkenaan di peringkat bahagian.
“Insya Allah jika menang saya akan buat sehabis baik untuk memastikan imej parti ini kekal sihat dan tampak berkualiti dalam kalangan anak muda.
“Saya bertanggungjawab untuk menyambung wadah perjuangan UMNO berlandaskan tujuan penubuhannya dan paksi-paksi perjuangan yang termaktub di dalam perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Sarfarizmal yang juga bekas Setiausaha Sulit Timbalan Menteri pernah berkhidmat dalam beberapa badan bukan kerajaan, platform politik dan jabatan kerajaan.
Antaranya Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Ahli Jawatankuasa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Bangi, Ahli Jawatankuasa Biro Pemuda IPT Pemuda Umno Malaysia, Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Maliha dan bekas Pegawai Khas Menteri Pengajian Tinggi.
Beliau juga merupakan cucu kepada Tokoh UMNO Langkawi 2003 iaitu Ahmad Sirun atau lebih dikenali sebagai Tok Mat Sirun, semasa kepimpinan Datuk Paduka Abu Bakar Taib selaku Ketua Bahagian.
Sarfarizmal sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Langkawi selama dua penggal turut berazam melihat Barisan Nasional (BN) kembali menang di kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Kuah dan Ayer Hangat.
“Sejarah tidak dapat nafikan bahawa BN memiliki pengalaman terbaik dalam menjaga ‘perut dan poket’ rakyat.
“Justeru, iltizam besar saya adalah supaya BN kembali menjadi kerajaan tunggal di Negeri Kedah dan Persekutuan.
“Bukan kerana politik kepartian semata-mata, sebaliknya untuk kemaslahatan rakyat sejagat,” tambahnya.
Pemilihan Pemuda UMNO akan berlangsung pada 11 Mac depan. -MalaysiaGazette