guru takmir
Aminuddin Harun

SEREMBAN – Seramai 289 guru takmir di seluruh Negeri Sembilan menerima manfaat daripada inisiatif kenaikan elaun RM50 sebulan daripada kerajaan negeri tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dengan kenaikan tersebut, kini mereka menikmati elaun berjumlah RM600 sebulan.

Menurut beliau, jumlah penerima tahun ini juga meningkat berbanding 204 guru tahun lalu dan 209 pada 2021.

“Besarlah harapan saya agar penambahan elaun ini dapat membantu mereka dalam menegakkan syiar Islam di samping menyampaikan ilmu kepada masyarakat Islam di seluruh negeri, insya-Allah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Aminuddin menambah, inisiatif tersebut yang bertujuan menghargai sumbangan guru-guru takmir mendidik masyarakat termaktub dalam Belanjawan Negeri Sembilan sejak 2021 sehingga tahun ini.

“Kerajaan Negeri Sembilan sedar bahawa guru-guru takmir sangat penting dalam menyampaikan ilmu agama Islam kepada masyarakat akar umbi,” jelasnya. – MalaysiaGazette