Saifuddin Nasution Ismail

KLUANG – Mira-kira 7,000 anggota keselamatan sudah siap siaga untuk dikerahkan bagi memberi bantuan pada bila-bila masa sekiranya banjir di Johor bertambah buruk.

Anggota keselamatan itu termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu termasuk 4,000 anggota polis.

“Saya diberikan taklimat oleh Menteri Besar Johor yang menyuarakan tentang perlunya kekuatan tenaga petugas tambahan kerana banjir pada kali ini relatifnya agak besar.

“Pasukan polis itu sudah berada seramai 4,000 lebih dan bersedia pada bila-bila masa untuk memberi bantuan tepat pada masanya dengan misi utama menyelamatkan nyawa.

“Insya Allah jumlah yang ada memadai,” katanya ketika melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Kampung Melayu di sini hari ini.

Beliau berkata, KDN juga bersedia menggerakkan aset seperti kenderaan pacuan empat roda, bot, trak dan kelengkapan menyelamat yang lain bagi memudahkan operasi banjir.

Johor telah memohon bantuan Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain yang tidak terjejas banjir susulan petugas sedia ada tidak mencukupi.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hingga pukul 1 petang ini, semua 10 daerah di negeri ini telah dilanda banjir membabitkan lebih 33,000 mangsa. -MalaysiaGazette