KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Terengganu (DPPT) menzahirkan rasa pelik dengan sikap sesetengah pihak yang terlibat dalam perfileman di negara ini apabila meluluskan tayangan filem ‘Mentega Terbang’ tanpa sebarang tapisan dan sekatan.
Ketuanya, Mohd Harun Esa berkata, kelulusan filem yang mempersenda agama Islam itu seperti satu provokasi yang sengaja dilepaskan untuk “test market” pandangan majmuk rakyat Malaysia.
Jelas beliau, sebelum ini rakyat dihidangkan dengan program hiburan melampau melibatkan artis luar negara, ini filem tempatan seperti ‘Mentega Terbang’ pula mencabar akidah umat Islam.
“Kita rasa pelik bagaimana filem seperti ini boleh diluluskan tayangannya ke seluruh negara seolah-olah tiada sebarang tapisan atau sekatan dari pihak berwajib.
“Pemahaman liberalisme agama ini lebih teruk dari unsur ekstrimisme kerana ia akan mengancam akidah seluruh umat Islam di Malaysia bukan sekadar keharmonian masyarakat sahaja,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sehubungan itu, DPPT mencadangkan kepada Kerajaan Perpaduan untuk mewujudkan lembaga penyemak syariah dalam industri hiburan selaras dengan semangat Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau juga berharap, perkara seperti itu tidak berulang lagi di lain masa.
Mengulas lanjut, Mohd Harun berkata, DPPT telah meneliti banyak babak dalam filem itu yang sedang tular sejak minggu lalu.
Filem itu, katanya, memaparkan kisah seorang wanita remaja muslim yang hendak mendalami kitab suci agama lain bagi mencari jawapan kepada beberapa persoalan yang sentiasa berlegar dalam pemikirannya.
“Sisi gelap filem ini yang mempromosikan sekularisme dan liberalisme dalam agama seolah suatu yang biasa dan wajar dibuat dengan alasan kajian atau terasa serasi dengan agama lain tanpa sebarang rasa bersalah.
“Unsur ini ditanam dengan jelas melalui beberapa dialog dalam filem berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, Islam sebagai agama fitrah perlu difahami dengan dalil dan perbincangan yang mengambil sudut ilmu pengetahuan sebagai cara memahami beberapa persoalan dalam kehidupan.
Seharusnya, ujar beliau lagi, seorang muslim mesti mengutamakan kajian pada dalil Islam sebagai penyelesaian kepada sebarang masalah.
“Jika tidak tahu hendaklah bertanya, bukan mengkaji tanpa guru yang akhirnya menyesatkan diri sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette