Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Mana-mana pihak yang mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Datuk Seri Najib Razak menghina mahkamah. kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil.

“Ini proses mahkamah, kita hormat keputusan itu. Perdana Menteri berkali-kali mengulangi pendirian bahawa beliau dan kerajaan tidak mencampuri urusan mahkamah.

“Kalau ada pihak berbuat demikian, itu satu penghinaan kepada mahkamah.

“(Mahkamah) ada prosesnya. Kita ikuti dan hormati proses tersebut,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), hari ini.

Beliau berkata demikian selepas segelintir pengguna media sosial mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan bekas Perdana Menteri itu dan bekas Ketua Pengarah Ekskutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

Awal hari ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan Arul Kanda.

Sementara itu mahkamah membebaskan Arul Kanda daripada tuduhan bersubahat dengan Najib melakukan pindaan itu selepas memberikannya sijil indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) kerana keterangan yang diberikan beliau selaku saksi pendakwaan pada Ogos tahun lalu adalah benar dan menyeluruh.

Najib, 70, didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette