Ketua Pemuda UMNO
Perwakilan melaungkan 'Pemuda Bangkit Kembali' pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2023.

EMPAT tokoh muda akan bersaing untuk mengisi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bagi menggantikan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam pemilihan kali ini.

Mereka ialah Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.

Setiap seorang daripada mereka mempunyai kekuatan serta misi dan visi tersendiri untuk ditawarkan kepada para perwakilan sayap yang akan membuat pemilihan pada 11 Mac ini.

Sudah tentu kesemua mereka bertekad untuk memulihkan prestasi Pemuda UMNO yang agak suram sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di mana sokongan anak muda terhadap parti semakin merudum.

Hakikat yang pahit namun terpaksa ditelan itu dapat dilihat daripada keputusan PRU15 yang menyaksikan ramai pengundi muda lebih tertarik untuk mengundi Perikatan Nasional (PN) berbanding Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda UMNO yang baharu mesti benar-benar memberi tumpuan terhadap usaha menarik sokongan anak muda Melayu terhadap parti dan menggerakkan program akar umbi bagi menggalakkan lebih ramai golongan berkenaan khususnya yang berpendidikan tinggi untuk berjuang bersama UMNO.

Pemuda UMNO di bawah kepimpinan yang baharu juga perlu keluar daripada retorik kosong yang sukar difahami ahli-ahli bawahan dan rakyat biasa yang jarang mendengar perbendaharaan kata tahap tinggi.

Sudah memadai sekiranya segala harapan dinyatakan dalam bahasa yang mudah namun berisi agar dapat diterjemahkan dengan tindakan yang lebih konkrit di peringkat akar umbi.

Pemuda UMNO juga perlu keluar daripada kultus pemujaan personaliti yang terlalu menjulang pemimpinnya secara keterlaluan walaupun tindak-tanduknya bertentangan dengan pendirian parti.

Ketua Pemuda UMNO yang baharu seharusnya sedar bahawa keberkesanan sayap tersebut dalam melaksanakan ketetapan parti adalah bergantung kepada gerak kerja pasukan di peringkat Exco pusat, bahagian dan cawangan.

Jangan anggap Pemuda UMNO seperti kelab elit yang dikuasai oleh golongan tertentu sahaja sehingga meminggirkan tokoh-tokoh muda lain yang juga berpotensi dan mampu menyumbang sekiranya diberi ruang dan peluang untuk berbuat demikian.

Ringkasnya, sesiapa sahaja yang bakal dipilih sebaga Ketua Pemuda UMNO pada 11 Mac nanti perlu komited dalam mengembalikan kegemilangan sayap berkenaan seperti pada era pemimpin-pemimpin terdahulu termasuk Datuk Seri Najib Razak.

Kembalikan reputasi Pemuda UMNO sebagai kumpulan pendesak yang berani dan lantang menyuarakan pandangan walaupun kadang-kadang berbeza dengan pendirian pucuk pimpinan serta kerajaan.

Pada masa yang sama, didik semua pemimpin dan ahli bahawa tujuan mereka bersama Pemuda UMNO adalah demi memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

Kikis dan buang jauh-jauh persepsi bahawa jawatan dalam Pemuda UMNO adalah ‘pembuka pintu’ untuk meraih keuntungan peribadi dan batu loncatan untuk ke tahap yang lebih tinggi dalam parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. tukar presiden tukar naib presiden tukar semua rombak semula naik dan lantik orang muda, baru la boleh maju.. kalau presiden sama je cerita dia mmg macam tu jela sampai kesudah

Comments are closed.