Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bercakap pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM Tahun 2022 di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman,Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) akan menentukan calon pegawai kanan polis yang bakal menggantikan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Hussain yang akan bersara wajib pertengahan Mac ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, SPP akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi menentukan calon-calon berpotensi untuk mengisi jawatan kedua kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia( PDRM).

“Justeru apapun pemilihan dan penentuan akan dilakukan melalui mesyuarat SPP yang akan diadakan tidak berapa lama lagi, kita tunggu apakah yang akan diumumkan SPP,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman pagi ini.

Beliau turut ditanya mengenai jumlah calon yang telah disenaraipendek mengisi jawatan timbalan beliau, Acryl Sani berkata, terdapat beberapa calon layak akan dipertimbangkan.

Selain jawatan timbalan ketua polis, PDRM juga akan menyaksikan pelantikan baharu pegawai tinggi di jabatan dan negeri PDRM susulan persaraan wajib.

“Insya Allah ada beberapa penjawatan tertinggi pasukan PDRM akan dikosongkan ekoran daripada persaraan wajib pegawai tertinggi yang akan berusia 60 tahun,” katanya.

Pengarah Jabatan Pengurusan, Datuk Seri Zaini Jass antara akan bersara wajib pada 9 Mac ini diikuti Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain pada 15 Mac depan.

Selain itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah akan bersara wajib pada 31 Mac ini dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan pada 16 April depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast