Friday, April 26, 2024
Home Nasional Tak perlu isytihar darurat di Johor – Fahmi Fadzil

Tak perlu isytihar darurat di Johor – Fahmi Fadzil

Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk tidak mengisytiharkan darurat di Johor yang kini dilanda banjir terburuk.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengarahkan setiap kementerian untuk meneliti segala permasalahan yang mampu menyegerakan bantuan buat mangsa banjir di negeri itu.

“Setiap Menteri juga telah diarah untuk melihat aspek kementerian masing-masing untuk segerakan bantuan di Johor.

“Tidak (laksanakan darurat) pandangan Jemaah Menteri lebih ke arah tindakan segera dan teliti aset kerajaan mampu yang mampu kita kerahkan ke sana,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), di sini hari ini.

Jelas beliau, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah turun melihat situasi terkini banjir di negeri itu.

Beberapa isu berkaitan banjir di Johor juga telah diselesaikan oleh Ahmad Zahid.

“TPM juga berada di beberapa lokasi sekitar Johor untuk lihat isu-isu segera yang perlu diselesai segera.

“Kita sedang teliti dan akan membantu kerajaan Johor atasi banjir,” katanya.

Fahmi berkata, antara lain yang dibincangkan oleh Jemaah Menteri berhubung keperluan untuk  membawa keluar mangsa-mangsa.

Selain itu, memastikan jalan-jalan dan jambatan yang terjejas dihubungkan semula.

Tambah beliau, mesyuarat itu sedang meneliti situasi terkini banjir di beberapa negeri lain antaranya Negeri Sembilan.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM50 juta untuk disalurkan kepada penduduk yang terjejas banjir di Johor.

Anwar berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet agar peruntukan segera itu bagi membeli barang keperluan dan bantuan lain kepada mangsa banjir. – MalaysiaGazette