dinosaur
Noraini Ahmad (kanan) akan dicabar oleh Shahrizat Jalil bagi jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan 11 Mac ini.

RAMAI ahli akar umbi Wanita UMNO yang hairan dengan keputusan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk mencuba nasib kembali menerajui mereka setelah sekian lama menyepikan diri.

Apakah yang mendorong kemunculan semula Shahrizat setelah beliau mengundurkan diri apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)?

Mengapa beliau membuat keputusan di luar jangkaan untuk mencabar Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang berhempas-pulas menyusun semula kekuatan Wanita UMNO yang sebelum itu kucar-kacir setelah ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpinnya yang berpengalaman?

Soalan-soalan tersebut bermain di fikiran ahli-ahli akar umbi Wanita UMNO khususnya para perwakilan yang akan menentukan sama ada Shahrizat atau Noraini yang bakal memimpin mereka sekali lagi pada pemilihan 11 Mac ini.

Tiada siapa yang dapat menafikan jasa dan sumbangan Shahrizat sepanjang memimpin Wanita UMNO selama sembilan tahun mulai 2009 sehingga 2018.

Namun, skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dikaitkan dengan keluarga Shahrizat menjadi liabiliti kepada parti malah merupakan antara faktor yang menyebabkan kegagalannya mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai pada PRU12.

Shahrizat yang sebelum itu menyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai selama tiga penggal ditewaskan oleh Nurul Izzah Anwar dari PKR yang jauh lebih muda dan kurang berpengalaman daripada beliau.

Keputusan pilihan raya tersebut menggambarkan kehendak pengundi yang mahu diwakili oleh pemimpin yang menampilkan idea baharu dan segar sekali gus menolak kepimpinan era ‘dinosaur’ yang sukar menyesuaikan diri dengan perkembangan politik semasa.

Situasi serupa akan berulang pada pemilihan Wanita UMNO bagi penggal 2023-2026 nanti yang sememangnya cukup penting bagi menentukan kepimpinan yang berupaya mengembalikan maruah parti yang tercalar teruk pada PRU15.

Wanita UMNO pasca PRU-14 merupakan generasi yang sama sekali berbeza daripada yang dipimpin oleh Shahrizat selama sembilan tahun dahulu.

Di bawah kepimpinan Noraini, Wanita UMNO tidak lagi dianggap sebagai ‘kumpulan makcik-makcik’ yang peranan mereka hanya diperlukan untuk menyediakan jamuan ketika mesyuarat atau mengemas bilik gerakan semasa kempen pilihan raya.

Tugas ahli-ahli Wanita UMNO di akar umbi juga tidak sekadar merayu pengundi atau membantu usaha meningkatkan jumlah anggota-anggota baharu parti.

Sebaliknya, Wanita UMNO diberi tanggungjawab yang lebih besar termasuk melakukan kajian sikap pengundi menjelang pilihan raya melalui program Jalinan Rakyat (JR) dan mereka berjaya melaksanakan tugasan itu dengan baik.

Masa silam Wanita UMNO di bawah Shahrizat memang tampak indah namun harus diingat ketika itu, UMNO dan BN merupakan parti yang dominan dalam kerajaan walaupun tidak lagi menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Jalan mendatang yang bakal ditempuh UMNO termasuk Wanita sehingga PRU16 adalah penuh liku, onak dan ranjau.

Noraini pernah melalui pengalaman itu dan kesediaan beliau mempertahankan jawatan membuktikan komitmennya untuk terus mengepalai Wanita UMNO dalam mengharungi perjalanan yang sukar.

Kejayaan Noraini mengekalkan kerusi Parlimen Parit Sulong membuktikan bahawa beliau diterima oleh rakyat, berbeza dengan Shahrizat yang ditolak oleh pengundi di Lembah Pantai.

Dinosaur dikatakan pupus akibat ketidakupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran dan cuaca dunia, berbanding dengan banyak spesies haiwan lain yang masih wujud sehingga kini.

Nasib yang serupa bakal menimpa Wanita UMNO sekiranya mereka memutuskan untuk memilih pemimpin yang diumpamakan seperti ‘dinosaur politik’, berbanding tokoh muda yang terbukti lebih fleksibel dan dinamik dalam menangani kemelut politik semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Lawak jenis apa akar UMBI UMNO ni?
    umur TUA Shahrizat tu dikatakan dinosaur?
    agak-agaklah dalam diam AKAR UMBI UMNO tahapkan Zahid Hamidi tu apa pula?
    harap Pakcik Puad jangan cakap kuat-kuat tau…

Comments are closed.