Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA – Bekas Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan beliau akan menyokong Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bekas Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau kini menjadi pemimpin politik bebas dan tidak akan menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Bekas menteri Kabinet itu berkata, ini kerana kerajaan sedia ada membentuk kerajaan kompromi dan bukannya kerajaan campuran.

“Saya nak umumkan saya akan menyokong PN untuk PRN nanti. Saya bebas untuk PN bukan sokong PH atau BN sebab mereka bentuk kerajaan kompromi bukan kerajaan campuran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang Bersama Tun M di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri Kabinet, Tan Sri Noh Omar.

Zuraida memaklumkan isu dalam PBM kini dalam proses penelitian oleh  Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Saya kini bersama Muafakat Nasional untuk beri saya platfom yang lebih besar di kalangan pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat, boleh kita mengetakkan aktiviti kita di peringkat akar umbi,” katanya. – MalaysiaGazette