Mohamad Hasan

SEGAMAT – Tiada keperluan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mewujudkan hospital medan bagi merawat mangsa banjir di seluruh negara ketika ini meskipun angka mangsa terus mencatatkan peningkatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini, petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di semua hospital dan klinik kerajaan mencukupi untuk memberi rawatan kepada mangsa banjir.

Mohamad bertanya khabar keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, Kampung Gubah, Segamat, Johor hari ini.

“Keperluan hospital medan ini tak perlu, kerana kita ada hospital di daerah-daerah dan klinik-klinik kesihatan kita banyak tapi dalam masa sama waktu banjir ni Kor Perubatan kita memang ada bergerak ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Mereka bergerak mengikut keperluan untuk bantu anggota KKM beri rawatan kesihatan segera di PPS dan mana yang tak boleh dirawat, mereka akan segera dihantar ke hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, Kampung Gubah, di sini hari ini. – MalaysiaGazette.