Dr Mohamad Khir Toyo

KUALA LUMPUR – Budaya gangstersime tidak lagi sesuai diamalkan pada zaman ini, apatah lagi dalam menerajui pucuk pimpinan mana-mana UMNO Bahagian.

Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, rakyat bukan lagi naif seperti 60 tahun dahulu, malah lebih cerdik dan sensitif kepada perkembangan semasa.

Beliau memberi bayangan, imej gengsterisme ditunjukkan Datuk Seri Jamal Md Yunos ketika menerajui UMNO Bahagian Sungai Besar sejak dua penggal lepas hanya merugikan parti.

“Mereka yang mengamalkan budaya ‘gangsterisme’ bukan budaya kita pada zaman sekarang.

“UMNO kena berani berubah dan bagi saya Sungai Besar kena buat perubahan paling penting kalau kita lihat cara Datuk Jamal.

“Berilah pasukan baharu, kita cuba memperbaiki apa yang telah berlaku (kerosakan) selama 10 tahun ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, Dr Khir selaku bekas Menteri Besar Selangor menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada pemilihan parti kali ini.

Selepas tarikh menghantar borang pencalonan ditutup pada 26 Februari lalu, perebutan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar sah menyaksikan pertandingan dua penjuru antara penyandangnya, Jamal dan Dr Khir.

Dalam pada itu, Dr Khir menegaskan bahawa pendekatan yang digunakan Jamal tidak lagi sesuai untuk menarik sokongan bukan sahaja rakyat bahkan akar umbi parti itu sendiri.

“Kaedah (Jamal) digunakan itu sudah tidak sesuai, hari ini kita ingin lihat perbincangan secara berpengetahuan, pendekatan berhemah.

“Tak boleh lagi pendekatan dengan menghalau untuk berjumpa dengan sesiapa, mengugut dan sebagainya, tak boleh lagi,” katanya.

Dr Khir mendakwa, pendekatan Jamal itu menyebabkan UMNO tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat, khususnya pengundi baharu dan 18 tahun.

“Saya tengok orang muda semua tak nak dengan Datuk Jamal bila saya buat tinjauan baru-baru ini.

“Ini kerana mungkin cara dan kaedah itu mungkin berbeza, hari ini zaman rakyat penuh berilmu dan sensitif tentang akhlak dan sebagainya,” dedahnya.

Sehubungan itu, perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar digesa merehatkan Jamal dan memberi laluan kepada kepimpinan baharu untuk menerajui kawasan itu.

“Kalau nak ubah UMNO Sungai Besar, kita kena rehatkan Datuk Jamal, kalau tidak, kita tak boleh (menang) sebab cara dia memimpin UMNO Selangor semua ikut pemikiran dia, tak dengar pandangan orang lain.

“Kekalahan kita semakin teruk, UMNO semakin lemah, berpecah, cawangan pemuda pun berpecah, makin kurang, cawangan puteri mesyuarat makin kurang.

“Saya rasa dengan pengalaman yang ada, saya ingin menaburkan pengalaman saya untuk membaiki UMNO.

“Dulu masa saya susah, UMNO beri saya peluang, sekarang UMNO susah, saya kena bantu UMNO, itu niat saya sebenarnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast