SHAH ALAM -Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mempersoalkan mengapa kerajaan terdahulu tidak mengambil sebarang tindakan terhadap filem kontroversi, “Mentega Terbang”, yang menurutnya mula dikongsi di media sosial sejak April 2021.
Kerajaan ketika itu ditadbir Muhyiddin Yassin, bersama PAS dan Barisan Nasional (BN). Seterusnya, tampuk pemerintahan diambil alih Ismail Sabri Yaakob yang mengetuai pentadbiran selama 15 bulan, dari Ogos 2021 hingga Nov 2022.
“Mana pasukan mereka yang buat laporan sekarang ini? Waktu itu mereka di mana? Kenapa tak teliti (filem itu)?” soal Fahmi ketika ditanya media mengenai tindakan yang diambil kementeriannya terhadap produksi filem berkenaan,” katanya seperti yang dilapor FMT.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis pengagihan Peranti Siswa dan perasmian MyDigital.KKD di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Sebelum ini, tular sedutan babak tertentu dalam filem itu yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging khinzir daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapanya membenarkan Aisyah keluar dari Islam dan memeluk agama lain.
Sedutan babak itu mengundang amarah di platform media sosial, dengan warganet mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum.
Turut mengkritik ialah Menteri Hal Ehwal Agama Mohd Na’im Mokhtar yang berkata, filem itu jelas bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam tempatan.
Justeru, beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghantar laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar tindakan diambil terhadap filem tersebut.
Menurut Fahmi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan SKMM sedang menyiasat produksi filem berkenaan.
“Ada beberapa aspek yang sedang diteliti, disiasat oleh Finas. Ini melibatkan sama ada terdapat lesen untuk penggambaran, pengeluaran, dan saya serahkan pada Finas untuk membuat siasatan.
“Sekiranya ada tindakan yang perlu diambil, maka saya percaya pihak berkuasa akan ambil tindakan,” katanya. – MalaysiaGazette