Fadhlina Sidek

KUANTAN – Penjadualan semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi 533 calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan itu akibat banjir akan bermula 16 Mac ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, ia melibatkan 450 calon di Johor, Pahang (79) dan Sarawak (empat) bagi kertas mata pelajaran Ekonomi, Sains, Fizik dan Sains Rumah Tangga yang berlangsung pada 1 dan 2 Mac lepas.

“Kita akan bermula pada 16 Mac, tetapi juga akan lihat dari semasa ke semasa khususnya persediaan logistik dan lain-lain yang terkait rapat. Kita berharap cuaca bertambah baik supaya tidak bertambah penjadualan semula dan kita boleh tumpu kepada yang terjejas tempoh hari sahaja,” katanya.

Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Gerakan Massa #terimakasihcikgu peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata, 17 sekolah di Johor dan dua di Pahang terjejas banjir setakat ini, dan beliau akan ke Johor esok untuk meninjau sekolah yang terkesan supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan selain menziarah guru yang terlibat bencana itu.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan memberi tumpuan kepada reka bentuk sekolah yang hendak dibina dengan rekaan kalis bencana, khususnya di lokasi kerap berdepan bencana seperti banjir.

Pada perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM sedang melaksanakan beberapa tindakan bagi mengatasi masalah kekurangan guru khususnya di Sarawak sebelum sesi persekolahan baharu bermula pertengahan Mac ini.

Beliau berkata, antaranya ialah soal penempatan guru yang sedang dilihat bersama antara Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Pada majlis itu, Fadhlina juga mengumumkan tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI’ yang akan disambut di Melaka. – BERNAMA