KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki akui beliau bukan Ketua Pemuda UMNO yang sempurna sepanjang menerajui sayap utama parti itu sejak 2018.
Beliau yang tidak mempertahankan jawatan itu bagi pemilihan 2023-2026 ini berkata, cuma Allah menjadi saksi beliau telah cuba yang terbaik untuk memperkasakan kembali Pemuda UMNO dengan budaya baharu berteraskan roh perjuangan Islam, bukan lagi berpaksikan kebendaan, kemewahan mahupun keangkuhan.
“Kepada Allah juga saya serahkan segalanya agar diperhitungkan sebagai amal kebajikan yang mendapat ganjaran terbaik di akhirat kelak.
“Terima kasih kepada seluruh warga dan ahli keluarga besar Pemuda UMNO dari kalangan Exco, kepimpinan negeri hingga ke 191 Bahagian dan cawangan. Mohon maaf atas segala kekurangan, kelemahan dan kekhilafan sepanjang saya menakhodai bahtera Pemuda UMNO,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Asyraf membuat hantaran itu, selepas kali terakhir mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia sesi 2018-2023 di Ibu Pejabat UMNO Sabah, Kota Kinabalu.
Beliau berkata, ketika pertama kali menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Sabah adalah negeri pertama memberikan sokongan dan dokongan padu kepadanya.
Malah, katanya, Sabah juga destinasi pertamanya dan barisan Pemuda yang memulakan langkah turun jelajah ke seluruh 25 Parlimen membawa agenda Pemuda #BangkitKembali.
“Bermula di Sabah tanpa menoleh ke belakang, kami cuba mengembalikan Pemuda UMNO ke akar perjuangannya dalam keadaan serba kekurangan kerana pertama kali kami mengambil tanggungjawab kepimpinan dalam keadaan parti hilang kuasa pada 2018.
“Berbekalkan hanya kudrat dan semangat #BangkitKembali, kami mula menyusun program Halaqah Ilmu, latihan demi latihan untuk memugarkan kembali idealisme, roh dan jatidiri perjuangan bersandarkan akar agama.
“Alhamdulillah, Allah membuka jalan keluar kepada segala kesulitan dan memberikan rezeki daripada pelbagai pintu yang tidak disangka,” katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun tiada jawatan kerajaan seperti Menteri, Timbalan Menteri mahupun Pengerusi GLC, apatah lagi kemewahan sumber sebagaimana penjawat sebelumnya, Pemuda terus berjaya menelusuri semua 191 Bahagian di seluruh Malaysia.
Jelasnya lagi, pelbagai inisiatif baharu dengan penubuhan Skuad Sabil bagi tujuan menggerakkan agenda sukarelawan membantu rakyat, pembentukan UMNOSiswa untuk menyeragamkan gerakkerja pengkaderan mahasiswa dan menghidupkan kembali Putera UMNO bagi mendekati anak muda di bangku sekolah. – MalaysiaGazette