KUALA LUMPUR – Agrobank akan memberikan moratorium dan pengecualian caj ke atas penukaran kad debit ATM dan buku akaun simpanan kepada pelanggannya yang terjejas akibat banjir.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam hantaran Facebook, hari ini.
“Semoga bantuan ini dapat meringankan sedikit beban mangsa banjir di negeri Johor, Pahang dan Melaka,” katanya.
Pelanggan yang terkesan boleh memohon melalui laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Agrobank di talian 1-300-88-2476 atau berkunjung ke mana-mana cawangan Agrobank yang terdekat bagi memohon atau mendapatkan maklumat lanjut berkenaan bantuan itu.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) meminta semua penggiat media TikTok atau Tiktoker berkarya dengan kreatif, menunjukkan contoh dan tauladan yang baik serta menyampaikan maklumat yang tepat.
Beliau juga menyeru mereka agar bersama-sama membina masyarakat Malaysia yang lebih baik untuk masa depan yang lebih gemilang.
“Tanggungjawab yang dipikul oleh TikToker sangat besar kerana setiap bahan yang dimuatnaik di media sosial TikTok akan membentuk cara berfikir masyarakat,” jelasnya.
Mohamad mengulas mengenai pertemuannya dengan penggiat media TikTok di Kuala Lumpur, semalam. – MalaysiaGazette