SEGAMAT – Seorang ibu tunggal terpaksa berputih mata apabila semua persiapan sekolah baharu dibeli untuk lima anaknya memulakan sesi persekolahan rosak akibat ditenggelami banjir.
Norashidah Khamis, 37, berkata, akibatnya, dia bukan sahaja kerugian lebih RM1,500 malah buntu memikirkan bagaimana semua anaknya berusia 7 hingga 16 tahun akan bersekolah 19 Mac ini.
“Ingatkan bila buat sikit-sikit persiapan awal sekolah anak, tak lah rasa terbeban sangat tapi tak sangka pula semuanya rosak sekelip mata termasuklah buku teks sekolah.
“Sekolah nak buka lagi dua minggu sahaja lagi, mana nak cari duit untuk beli keperluan sekolah anak,” katanya sedih ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jawa Baru, Chaah, di sini, hari ini.
Pasangan suami isteri, Mohd Rosleyzan Mohd Rahim, 37 dan Ainul Azliany Ismail, 37 berkata, banjir kali ini adalah yang terbesar sehingga rumah mereka di kampung itu tenggelam sehingga ke paras bumbung.
“Bukan sahaja semua persiapan sekolah empat anak yang baru dibeli musnah, bahkan semua pakaian, perabot di dalam rumah rosak dihanyutkan arus deras.
“Paras air yang naik begitu cepat membuatkan saya tak sempat menyelamatkan harta benda kecuali beberapa dokumen penting,” katanya.
Sehubungan itu, dia berharap kerajaan dapat menyegerakan sebarang bantuan untuk keperluan persekolahan anak sekaligus meringankan beban mangsa banjir – MalaysiaGazette.