KUALA LUMPUR – Tayangan filem seperti Mentega Terbang tidak boleh dinormalisasikan di negara ini kerana ia dikhuatiri boleh memesongkan akidah dan mengelirukan umat Islam terutamanya golongan muda.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, filem tersebut bukan sahaja mempunyai unsur-unsur yang tidak wajar untuk tatapan umum di negara ini, malah ia didakwa menghina dan memperlekehkan kesucian Islam.
“Tayangan cerita seumpama ini seolah-olah cubaan untuk mempromosikan budaya ‘tak apa’ dalam kalangan masyarakat majmuk khususnya umat Islam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pada 2 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, hasil penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap kandungan filem Mentega Terbang mendapati, terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran mazhab Syafie.
Menurut beliau, Jakim akan mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agar tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang sedia ada.
Bagaimanapun, pengarah dan penulis skrip Mentega Terbang iaitu Mohd. Khairi Anwar Jailan menafikan filem terbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment itu bertujuan mempersenda agama Islam seperti didakwa penulis, Zabidi Mohamed.
Noraini menambah, Wanita UMNO menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam pembikinan filem kontroversi Mentega Terbang.
Beliau memberitahu, Wanita UMNO juga menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji, memperhalusi dan menambah baik garis panduan sedia ada serta bentuk-bentuk penguatkuasaan undang-undang supaya perkara tersebut tidak berulang pada masa yang akan datang.
“Dalam kita hendak menggalakkan industri kreatif di negara ini, perlu ada satu mekanisme yang jelas sebelum mana-mana filem ditayangkan bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette