SEGAMAT – Di sebalik kesedihan mengenangkan barangan rumah yang rosak ditenggelami air, mangsa banjir di daerah ini bersyukur kerana tidak pernah terputus bekalan makanan termasuk yang dimasak segar di pusat pemindahan sementara (PPS).
Malah, kira-kira 170 mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bali, di Kampung Chaah di sini ibarat mendapat ‘durian runtuh’ apabila turut dihidangkan daging kambing segar yang baharu disembelih.
Fauzi Said Ali, 45, dia tidak menyangka PPS berkenaan turut menyediakan daging kambing masak kicap tiga hari lalu yang disediakan pengusaha kantin sekolah berkenaan.
“Walaupun pada hari pertama saya berpindah ke sini malam Rabu lalu ada terputus bekalan makanan di PPS ini, selepas itu bekalan tidak putus-putus diterima termasuk yang dimasak panas-panas.
“Malah kami turut disediakan kambing masak kicap yang diinfakkan penduduk apabila ternakan mereka itu hampir lemas dan sempat disembelih untuk dimasak di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di PPS SK Seri Bali di sini hari ini.
Warga emas, Rohaya Ma’adil, 61, berkata dia bersyukur kerana bekalan makanan di PPS berkenaan bukan sahaja lebih daripada mencukupi, malah berkhasiat dan dihidangkan tepat pada masanya.
“Kalau sarapan pagi itu, kami dihidangkan mi, bihun atau nasi goreng seawal pukul 7.30 pagi manakala makan tengah hari pada pukul 12 dapat lauk ayam goreng, kambing dan ikan goreng bergantung pada bekalan.
“Jadi kalau nak kata makanan sampai lambat atau tidak berkhasiat itu tipulah malah bersyukur kerana dapat makan kambing,” katanya. – MalaysiaGazette.