IPR KitaJaga
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi tumpuan untuk mendapatkan lebih banyak penyertaan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dari negeri-negeri yang kurang penyertaan terutamanya yang mempunyai golongan miskin tegar yang ramai.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kementeriannya akan memanggil pimpinan daripada pegawai-pegawai kerajaan, wakil-wakil rakyat dan juga agensi terbabit dari daerah-daerah termiskin di Malaysia.

“Contohnya mereka dari Tongod, Pitas, Kota Marudu, Beluran, Kudat, Telupid, Pusa, Nabawan, Kota Belud, Jeli, Kinabatangan, Kuala Krai, Gua Musang, Bachok, Pasir Mas, Tumpat, Besut, Marang, Hulu Terengganu, Machang dan Dungun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, setakat ini, Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 34 peratus diikuti Johor (11 peratus) dan Perak (9 peratus).

Kuala Lumpur pula mencatatkan kadar pendaftaran 8.5 peratus diikuti Negeri Sembilan (6.3 peratus), Kedah (5.7 peratus), Sabah (5.7 peratus), Pulau Pinang (5.4 peratus), Pahang (3.3 peratus), Melaka (2.7 peratus), Sarawak (2.4 peratus), Kelantan (1.7 peratus), Terengganu (1.5 peratus), Perlis (0.5 peratus), Putrajaya (0.4 peratus) dan Labuan (0.07 peratus).

Rafizi memberitahu, sejak IPR dilancarkan pada 26 Februari lalu, seramai 22,319 pengguna sah telah mendaftar di laman sesawang rasmi ipr.epu.gov.my.

“52 peratus daripada pendaftaran adalah untuk INSAN, 29 peratus untuk INTAN, 19 peratus untuk IKHSAN, dan sebanyak 376 untuk off-takers menunjukkan minat yang luas dalam program ini,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Malaysia telah menyertai Komuniti Sifar Bahan Buangan Asia (AZEC) secara rasmi bersama Jepun, Australia dan negara-negara ASEAN yang lain kecuali Myanmar.

Rafizi berkata, AZEC merupakan inisiatif baharu bagi memacu peralihan tenaga daripada sumber hidrokarbon kepada sumber tenaga bersih dan tenaga boleh baharu (TBB) serta aspirasi sifar bersih pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang lebih signifikan.

Menurut beliau, kerjasama yang dijalin melalui AZEC mampu membuka peluang kepada Malaysia untuk mempercepatkan pemindahan teknologi dan pembiayaan hijau supaya dapat dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat negara.

“Kementerian Ekonomi akan memuktamadkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga untuk menterjemahkan Dasar Tenaga Negara kepada projek-projek peralihan tenaga yang akan diterajui syarikat-syarikat besar, sederhana, dan kecil. Kementerian berharap dapat mengemukakan pelan ini dalam tempoh tiga bulan dari sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette