KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul tergempar bagi membincangkan banjir yang berpunca daripada perubahan iklim.
Usul berkenaan akan dibincangkan pada jam 1 tengah hari ini.
Terdahulu, usul berkenaan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi (PH) di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1).
Beliau mengemukakan usul tersebut selepas selesai sesi jawab lisan sebentar tadi.
Dalam masa yang sama Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor berkata, usul berkenaan didapati memenuhi tiga syarat iaitu perkara itu tertentu, bagi kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan, untuk dipertimbangkan Dewan Rakyat.
“Ia berkepentingan orang ramai iaitu kepentingan masyarakat, dan berkehendakkan disegerakan,” katanya.
Justeru, usul tersebut dibincangkan dipersetujui Ahli Parlimen melalui undian suara, selepas dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Bin Mohd Ali. – MalaysiaGazette