KUALA LUMPUR – Institusi perbankan Islam yang merupakan ahli Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menawarkan pelbagai sokongan dan bantuan khas kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat banjir untuk menghadapi tempoh yang mencabar ini.

Antara bantuan khas banjir yang disediakan termasuklah bantuan bayaran balik bersasar dan penggantian kad secara percuma.

Maklumat terkini yang berkaitan boleh didapati di laman sesawang serta di media sosial pihak bank.

Para pelanggan yang terjejas boleh menghubungi pihak bank untuk membuat permohonan bantuan yang berkaitan.

Menurutnya, pelanggan yang memerlukan bantuan dinasihat untuk mengutamakan keselamatan diri dan keluarga terlebih dahulu serta menghubungi pihak bank masing-masing untuk berunding dengan pegawai bank yang sahih berhubung isu perbankan mereka yang mungkin terkesan akibat banjir ini.

Ini amat penting untuk mengelakkan para pelanggan daripada terpedaya dengan penipuan kewangan dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, akses perkhidmatan perbankan asas akan terus disediakan seperti urusan di kaunter dan mesin layan diri.

Cawangan bank yang terjejas akibat banjir akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Sebagai alternatif, para pelanggan juga dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan perbankan atas talian untuk urusan perbankan.

Pihak pelanggan juga boleh menghubungi pihak sekretariat AIBIM diemel kepada [email protected] untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette