Masjid Ubudiah di Perak. - Gambar hiasan.

IPOH – Wakil rakyat, Ahli Dewan Negara dan individu yang memegang jawatan dalam parti politik dilarang mengajar atau bersyarah di masjid serta surau berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, calon bertanding dalam mana-mana pilihan raya serta bekas ahli politik yang masih aktif dalam arena itu juga termasuk dalam kategori dilarang berbuat demikian.

β€œIa selaras dengan ketetapan yang diputuskan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak menerusi pekeliling garis panduan bertarikh 6 Mac 2023 kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh Perak.

Harith Fadzilah.

“Larangan mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau berdaftar dengan JAIPk terpakai kepada individu yang tidak mempunyai sebarang tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian menerusi pekeliling Garis Panduan Larangan Mengajar Serta Bersyarah Dalam Masjid dan Surau yang Berdaftar Dengan JAIPk.

Sehubungan itu, Harith Fadzilah berkata, jawatankuasa kariah masjid dan surau dikehendaki sentiasa memantau aktiviti mengajar atau bersyarah supaya selari dengan matlamat pengajaran dan syarahan pengajaran iaitu pengukuhan ilmu dan pemupukan perpaduan masyarakat. – MalaysiaGazette