Fuziah melancarkan Program Food Bank Wakaf Rahmah. - Foto KPDN.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Program Food Bank Wakaf Rahmah di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.

Program tersebut adalah kesinambungan daripada inisiatif Program Food Bank Siswa (PFBS) yang telah dilaksanakan kementerian sejak Februari 2019.

Menurut Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh, sebanyak 29 institut pengajian tinggi, politeknik serta Institut Pengajian Guru menerima manfaat inisiatif tersebut.

Program berkenaan telah membantu seramai 21,105 pelajar bagi mengurang kos sara hidup yang dihadapi di kampus.

“Bagi pelaksanaan Program Food Bank Wakaf Rahmah di Uniten, seramai 1,000 orang pelajar kurang berkemampuan akan menerima manfaat ini.

“Konsep program ini adalah Food Pantry di mana pihak pengurusan Hal Ehwal Pelajar Uniten bersama Pusat Islam Uniten akan menyediakan tempat penyimpanan sumbangan makanan serta menyelaras pengagihan sumbangan kepada pelajar mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya.

Program Food Bank Wakaf Rahmah turut dijayakan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Yayasan Al Manjie, Yayasan Food Bank Malaysia, Tamin Group, Le Meridien Hotel Putrajaya, Mamee Double – Decker (M), Haseenah Foundation dan Etika Beverages Sdn Bh, Nestle Products Sdn. Bhd. dan Lotus’s Store.

Penyumbang Program Food Bank Wakaf Rahmah.-Foto KPDN

KPDN juga telah melaksanakan inisiatif Teknologi Pembungkusan Makanan secara retort yang melibatkan industri perhotelan, katering dan pengeluar makanan.

Sebanyak 12 buah mesin retort sedang beroperasi di 10 lokasi
terpilih di seluruh negara.

Inisiatif terbabit mendapat sambutan baik daripada banyak pihak dan membantu ramai golongan sasar khususnya mangsa bencana seperti banjir.

“Ini kerana makanan retort bersifat ready to eat dan ia juga amat sesuai untuk pelajar yang menetap di kolej kediaman kampus,” katanya.

Menurut beliau, KPDN turut menerima sumbangan mesin retort daripada Yayasan Wakaf Malaysia sebagai instrumen penambahbaikan kepada PFBS.

Mesin Retort tersebut ditempatkan di Hotel Marriot Putrajaya yang merupakan rakan strategik KPDN dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan dan menambah kuantiti serta kualiti bank makanan PFBS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast