Enam lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam ditahan polis kerana menyabung ayam. foto Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Tujuh individu termasuk wanita warga asing yang leka menyabung ayam di kawasan lombong Tanjung, di Jalan Persiaran Bayu Bandar Saujana Putra, Banting lari bertempiaran selepas diserbu polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, serbuang jam 2.30 petang pada 5 Mac lalu dibuat selepas mendapata maklumat daripada Bahagian Siasatan Jenayah dan Balai Polis Banting.

“Ketika serbuan dibuat, sekumpulan lelaki sedang berkumpul dipercayai sedang membuat pertaruhan judi sabung ayam.

“Apabila menyedari kehadiran pihak polis, kesemua mereka bertindak lari bertempiaran sebagai langkah mengelak daripada dicekup,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

 

Keadaan sekitar tempat aktiviti menyabung ayam oleh tujuh individu di Banting. Ihsan IPD Kuala Langat

Bagaimanapun, kesemua tujuh suspek yang terdiri daripada enam lelaki warga tempatan dan seeorang wanita Vietnam yang sudah dikepung berjaya ditahan.

Mereka yang ditahan berusia antara 31 tahun sehingga 55 tahun.

Polis turut merampas 25 ekor ayam jantan yang digunakan dalam pertaruhan haram melibatkan wang minimum RM200 sehingga RM500 bagi setiap pertaruhan yang diadakan pada hujung minggu.

Kesemua suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu berjudi ditempat awam, jika disabitkan kesalahan memperuntukkan hukuman denda maksimun RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette