KUALA LUMPUR – Kelab Media Putrajaya kesal dengan layanan penganjur terhadap kira-kira 20 pengamal media dari pelbagai agensi yang membuat liputan Sambutan Hari Hasil ke-27 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), malam tadi.
Menurut satu kenyataan kelab tersebut, program tersebut terbuka kepada semua agensi media.
“Kelab Media Putrajaya memandang serius insiden yang berlaku pada majlis yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan di Cyberjaya, malam tadi.
“Pertama, pengamal media pada awalnya tidak dibenarkan memasuki dewan majlis oleh urusetia kecuali pada acara penyampaian anugerah iaitu selepas ucapan perasmian Perdana Menteri.
“Sedangkan yang utama bagi pengamal media adalah melaporkan dan menyalurkan intipati ucapan Perdana Menteri kepada masyarakat. Bagaimanapun, setelah berbincang dan memberi penjelasan kepada urusetia barulah dibenarkan masuk,” kata kenyataan itu.
Katanya, jika pengamal media tidak dibenarkan membuat liputan ucapan Perdana Menteri sekalipun, sepatutnya pihak penganjur memaklumkan perkara berkenaan di dalam jemputan media supaya tidak berlaku kekeliruan.
“Kedudukan petugas media yang diletakkan di belakang dewan dan tidak disediakan meja khas kepada petugas media. Malah difahamkan, urusetia majlis memaklumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bersetuju dengan susun atur tersebut.
“Namun hasil semakan dengan PMO mendapati PMO turut tidak dimaklumkan mengenai persetujuan tersebut. Kami bukanlah mahu dilayan seperti orang kenamaan tetapi hanya mahu tugas kami dipermudahkan dalam menyampaikan maklumat kepada semua,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu, insiden berkenaan bukan pertama kali berlaku kepada pengamal media.
Sehubungan itu, Kelab Media Putrajaya memohon penjelasan daripada pihak penganjur mengenai insiden tersebut dan berharap perkara serupa tidak berulang. – MalaysiaGazette