Rancangan Keluar Sekejap yang dikendalikan secara bersama oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berpendapat prestasi menteri daripada UMNO dalam Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyerlah dalam tempoh 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berpandangan, menteri pertahanan dan menteri luar yang kedua-duanya dipegang oleh pemimpin UMNO didakwa senyap dan tidak mempunyai hala tuju.

“Saya nak melihat menteri-menteri yang selama ini senyap tidak ada hala tuju terutama daripada UMNO bolehlah mereka menyerlah sedikit.

“Contoh sekarang kita tahu terdapat ketidaktentuan global terutama dalam dunia yang multipolar Amerika Syarikat, China, Rusia dan sebagainya.

“Mana kita punya rangka dasar luar dan pertahanan kita? Tak ada dengar pun. Kita kena tetapkan,” kata Khairy dalam episod pertama Keluar Sekejap yang disiarkan secara podcast di alam maya.

Program yang membincangkan Pencapaian 100 hari Madani itu dikendalikan secara bersama dengan bekas Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan.

Khairy Jamaluddin bertegas, pemegang portfolio kedua-dua kementerian itu seharusnya telah tahu dasar yang boleh mereka rangka selepas perdana menteri mengadakan beberapa siri lawatan keluar negara termasuk Turki.

“Sudah pasti dalam lawatan ke negara Asean dan Turki kita sudah tahu sebenarnya.

“Dasar kita tidak mengubah banyak terutama dalam dasar luar dan pertahanan kita.

“Tetapi penting bagi kita tegaskan semula dalam dunia multipolar inilah pendekatan atau rangka dasar luar baharu kerajaan madani ini,” katanya.

Khairy memberikan markah B- kepada pentabiran Anwar selama 100 hari kerana masih terdapat dasar jangka panjang yang tidak jelas serta prestasi beberapa anggota Kabinet yang tidak menyerlah.

Menurutnya, markah tersebut cukup bagus lebih-lebih lagi apabila Anwar mempunyai timbalan seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini markah yang bagus, jauh lebih tinggi daripada markah lulus. B- kerana polisi jangka panjang masih lagi samar. Ada banyak jurang dari segi polisi.

“Prestasi Kabinet tak konsisten ada yang bagus, ada yang tak berapa menyerlah.

“Bukan saya kata tidak bagus tetapi dalam 100 hari ini kita menjangkakan mereka ke hadapan untuk membantu perdana menteri menggariskan hala tuju yang lebih jelas dan B- adalah markah yang cukup tinggi dengan Timbalan Perdana Menteri seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Sementara itu Shahril Hamdan memberikan markah A- kepada pentadbiran Anwar selama 100 hari.

Markah itu menurut beliau berdasarkan beberapa tindakan yang telah diambil termasuk program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilaksanakan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

“Saya beri A- kerana tidak ada masalah besar dan ada beberapa asas telah telah dilakukan.

“IPR sudah sedia ada isyarat awal tentang apa yang ingin mereka lakukan dari segi kebajikan.

“Banyak lagi yang boleh dilakukan tetapi kerana ini adalah kerajaan campuran mereka telah lakukan yang terbaik ketika ini,” katanya.-MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

Comments are closed.