Shamsul Ahmad, melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Seri Maimon, Batu Pahat.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang giat memulihkan bekalan elektrik di daerah-daerah di Johor dan Pahang yang terjejas akibat banjir dengan keselamatan awam sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam usaha pemulihan bekalan.

Sehingga jam 8 pagi hari ini, TNB telah dapat menyambungkan semula bekalan secara berperingkat, 70.68% daripada kawasan terjejas di Johor telah berjaya dipulihkan, Pahang (92.69%) manakala Melaka dan Negeri Sembilan telah pulih sepenuhnya.

Menurut Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Ts. Shamsul Ahmad, warga kerja barisan hadapan TNB sedang bertungkus lumus di lapangan supaya bekalan dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

“Dalam suasana banjir terutama premis yang dinaiki air, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati menggunakan peralatan elektrik dan suisnya. Jangan menyentuhnya dengan
tangan basah dan lembap kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik,” katanya ketika meninjau keadaan semasa banjir di Negeri Johor.

Terdahulu beliau meyampaikan maklumat terkini kepada Mesyuarat Task Force Banjir di Negeri Johor yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan
Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Muar.

Shamsul berkata, TNB akan segera memberikan semula bekalan elektrik sebaik keadaan infrastruktur dan keselamatan premis pengguna mengizinkan, dengan pemeriksaan
menyeluruh pendawaian perlu dilakukan oleh kontraktor berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) demi keselamatan mereka.

“Bekalan tidak boleh disambung begitu sahaja kerana penduduk perlu memastikan keadaan rumah mereka bersedia menerima bekalan elektrik.

”Pendawaian dan peralatan elektrik yang ditenggelami air mungkin terjejas serta perlu dibersihkan dan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Di pihak TNB pula, katanya, tindakan utama ialah memulihkan pencawang dan aset lain seperti tiang tumbang dan membaik pulih kabel dengan mengujinya untuk memastikan ia
selamat bagi menyalurkan bekalan.

TNB juga menasihati pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang
beralih atau tumbang. – MalaysiaGazette