Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional dilapor akan melakukan serangan bertubi-tubi dalam pilihan raya negeri di Selangor, termasuk berhasrat menjadikan Khairy Jamaluddin yang dipecat daripada UMNO sebagai “poster boy” mereka.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kesihatan itu dilaporkan masih menunggu dan melihat termasuk menilai sekuat mana elemen dalaman UMNO yang menentang Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“PN berkeyakinan mempunyai sokongan asas dalam kalangan pengundi Melayu dan percaya Khairy mampu menarik sedikit sokongan bukan Melayu.

“Keadaannya bagaimanapun belum ketara dan Khairy masih mahu menilai keputusan pemilihan UMNO,” kata sumber kepada Sinchew Daily.

Akhbar itu melaporkan, PN bersedia bertarung di kesemua 56 kerusi negeri di Selangor.

Pakatan politik itu juga dilaporkan yakin 75  peratus pengundi Melayu akan cenderung menyokong mereka.

Dengan 28 kerusi mempunyai lebih daripada 65 peratus pengundi Melayu, PN justeru mempunyai peluang merebut Selangor daripada PH.

Bersatu dan Pas berunding untuk bertanding di kerusi Melayu tradisional manakala rakan politik PN akan beradu di kerusi yang mempunyai majoriti bukan Melayu.

Perikatan Nasional dikatakan giat merekrut bekas pemimpin tempatan MCA, MIC dan PKR untuk menyertai mereka bagi menyerbu kawasan seperti Sungai Pelek, Sekinchan, Kuala Kubu Bharu dan Kajang. – MalaysiaGazette