DOHA – Pemerintah Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani melantik Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani sebagai perdana menteri baharu selepas peletakan jawatan Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdelaziz Al Thani.
Sheikh Mohammed berkhidmat sebagai Menteri Luar Qatar sejak 2016 dan merupakan wajah awam Qatar ketika ia mengemudi sekatan tiga setengah tahun oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir.
Sheikh Khalid dilantik sebagai perdana menteri pada Januari 2020 selepas menjadi ketua Amiri Diwan di pejabat emir.
Beliau pernah bekerja dalam industri gas dan mendapat pendidikan di Amerika Syarikat sebelum bekerja untuk Sheikh Tamim ketika menjadi putera mahkota.
Pejabat emir juga mengumumkan pelantikan Sheikh Khalifa bin Hamad bin Khalifa Al Thani sebagai menteri dalam negeri.
Menteri Kewangan Ali bin Ahmed al-Kuwari dan Menteri Tenaga Saad al-Kaabi dilantik semula dalam rombakan kabinet, yang pertama sejak Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia bola sepak 2022.
Emir juga menyusun semula lembaga dana kekayaan negara Qatar Investment Authority, melantik Gabenor Bank Pusat, Sheikh Bandar Bin Mohammed Bin Saoud al-Thani sebagai pengerusi menggantikan Sheikh Mohammed, kata pejabat emir. – Agensi