Keadaan motosikal mangsa yang bergesel dengan kereta dalam kemalangan pada 17 Januari lalu di Jalan Bulatan Lapangan Terbang Subang.

KUALA LUMPUR – Selepas lebih sebulan bertarung nyawa, seorang penunggang motosikal  yang terlibat dalam nahas di bulatan Jalan Lapangan Terbang Subang, pada 17 Januari lalu meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 54 tahun itu meninggal pada jam 7.56 pagi tadi di Hospital Sungai Buloh.

“Semasa kejadian, motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa dipercayai telah bergesel dengan sebuah kereta jenis Honda City yang berada di lorong sama,” katanya dalam kenyataan petang tadi.

Kemalangan itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, hari ini sekitar jam 7.56 pagi tadi kami menerima laporan kematian lewat susulan mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Mohamad Fakhrudin meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diseru agar tampil menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011-32311232 bagi membantu siasatan.

Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -MalaysiaGazette