KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap pengendali akaun Twitter Pak Arman Amin yang mengaitkan Pas dengan gerakan militan Islamic State (IS) dan DAESH.
Ketuanya, Ahmad Fadhil Shaari berkata, tuduhan itu merupakan fitnah yang berisiko menjejaskan keharmonian, mengeruhkan hubungan antara kaum dan mengancam keselamatan demokrasi negara.
Justeru Ahmad Fadhil yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, pengendali twitter tersebut perlu disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Pas merupakan parti yang ditubuhkan berasaskan undang-undang Malaysia sah, berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak memerlukan campur tangan Menteri Dalam Negeri untuk mengecualikan apa-apa akta dan keperluan.
“Kami beroperasi secara sah, tidak ada apa-apa keperluan mengaitkan Pas dengan mana-mana gerakan keganasan yang berkait dengan antarabangsa,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Terdahulu katanya, Pemuda Pas telah membuat laporan di Balai Polis Selayang terhadap pengendali akaun Twitter tersebut.
Pada 5 Mac lalu, pengendali twitter berkenaan memuat naik hantaran dengan ayat “Baru baru ini Pas buat perarakan angkat pedang. Rupanya ia kebangkitan Islamic State oleh Daesh. Memang Pas ni celaka”.
Berdasarkan pemerhatian MalaysiaGazette, sehingga kini hantaran tersebut masih wujud. – MalaysiaGazette
tuduh orang lgbt komunis sesat tak apa . bila orang tuduh kita is pandai pula melenting ye . buktikan kan lah kalau tidak .