KUALA LUMPUR – Biarpun prestasinya kini mula dipersoalkan peminat, pemain lincah Selangor FC, Faisal Abdul Halim tetap berbangga dengan satu mata yang diperoleh menerusi jaringan kapten, Brendan Gan ketika bertemu Sri Pahang, kelmarin.
Bekas pemain sayap Terengganu FC itu percaya dia dan rakannya mampu melakukan aksi yang lebih baik.
“Pada saya, kita tetap kena berbangga walaupun hanya dengan satu mata sebab pemain-pemain telah memberikan usaha yang sangat luar biasa.
“Walaupun kita ketinggalan selepas lawan dapat penalti, tetapi kita tetap bangkit untuk kejar balik dan apabila bermain pada waktu petang, memang bukan mudah.
“Tetapi ia satu pengalaman baharu dan kita kena belajar menyesuaikan diri untuk terus memberikan yang terbaik selepas ini,” jelasnya yang juga kapten Harimau Malaya.
Sebagai rekod, momentum cemerlang Gergasi Merah disekat selepas seri 1-1 pada aksi bertemu Sri Pahang di Stadium MB Petaling Jaya kelmarin dengan gol penyamaan dijaringkan oleh Brendan pada penghujung perlawanan.
Namun ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyeru peminat kekal tenang meskipun Faisal masih lagi belum menjaringkan gol pada tiga penampilan awal saingan Liga Super musim ini.
Kata Cheng Hoe, prestasi Faisal masih lagi memuaskan kerana sering membantu pasukan khususnya menerusi jentera serangan dan sumbangannya tidak boleh dinilai menerusi jaringan gol semata-mata. – MalaysiaGazette