Kalsom Nordin

JASIN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan siasatan terhadap sebuah syarikat katering di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai, di sini, yang didakwa menyediakan lauk berbau busuk kepada mangsa banjir.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu termasuk akan segera menamatkan perkhidmatan syarikat itu sekiranya menemui bukti terhadap dakwaan itu.

“Bagi pihak kerajaan negeri, insiden ini memang amat dikesali dan kita akan siasat jika benar ada bukti, baharulah kita akan ambil tindakan keras termasuk senarai hitam dan tamatkan perkhidmatan mereka.

“Dakwaan ini serius dan sama sekali tidak akan berkompomi dalam hal yang melibatkan soal keselamatan dan kesihatan rakyat apatah lagi adalah mangsa-mansa banjir yang berdepan ujian berat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan mengejut di PPS SK Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan mangsa banjir di PPS itu mendakwa mereka dibekalkan dengan hidangan nasi berlauk ikan kembung yang sudah berbau busuk mengakibatkan mereka mengalami cirit birit.

Mengulas lanjut Kalsom berkata, JKM juga akan melihat sekiranya berlaku kecuaian oleh mana-mana pihak dalam menyediakan makanan kepada mangsa banjir.

“Saya hairan macam mana hal sebegini boleh berlaku sama ada mungkin ada kelewatan, kecuaian atau faktor cuaca semua sudut ini kita akan lihat.

“Selepas ini, JKM akan melakukan pemantauan di semua PPS yang dibuka bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang,” katanya. – MalaysiaGazette.