Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah menanam 250 pokok hutan di tapak kebun haram halia Bentong di Bukit Tinggi, di sini

BENTONG – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertindak menghapuskan penanaman tanaman Halia Bentong di tanah seluas dua hektar yang diceroboh di Hutan Simpan Kekal Bukit Tinggi.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kebun haram itu dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lalu di lereng bukit berbatu yang tidak boleh dilalui kenderaan.

Laluan kecil dan berbatu sejauh 500 meter ke tapak kebun haram ketika tinjauan di Bentong hari ini

Katanya, kegiatan tersebut terbongkar hasil penemuan oleh kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong yang menemui satu laluan masuk sekitar 500 meter menuju kebun berkenaan melalui aliran anak Sungai Tanglir ketika tinjauan laluan air ekoran kejadian kepala air, banjir lumpur dan tanah runtuh di Jalan Lama Gombak-Bentong.

Ekoran penemuan tersebut, pada 27 Februari lalu, JPNP mengambil tindakan memusnahkan tanaman di kebun haram itu dan menanam semula pokok balak jenis Merawan sebanyak 250 batang.

Penolong Pegawai Hutan Daerah Bentong, Hasnudin Mat Ail menunjukkan halia Bentong yang ditanam di tapak kebun haram Bukit Tinggi.

Hasil siasatan awal turut mendapati, kegiatan itu didalangi warga tempatan yang menempatkan warga asing untuk menjaga kebun haram tersebut.

Difahamkan, sebanyak tiga buah pondok kayu dibina di kawasan berkenaan di mana penghuninya menjadikan air sungai sebagai sumber utama kehidupan seharian dan untuk kegunaan penanaman halia.

Bagaimanapun, dalam tinjauan MalaysiaGazette ke tapak kebun haram itu hari ini, yang tinggal hanya timbunan kayu setelah pondok itu dirobohkan JPNP.

Sisa pondok yang menjadi kediaman warga asing menjaga tanaman halia Bentong di Bukit Tinggi, Bentong ketika tinjauan MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Hizamri, pihaknya juga telah mengesan satu aktiviti pemasangan paip di anak Sungai Tanglir untuk mengambil air dari Hutan Simpan Kekal tanpa kebenaran JPNP.

“Susulan daripada itu, pihak JPNP telah bertindak memusnahkan paip air yang dipasang selain mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pencerobohan baharu tanpa permit,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Beliau dalam pada itu menegaskan, kegiatan pencerobohan haram itu bukan menjadi punca kepada kejadian banjir lumpur di Jalan Lama Gombak-Bentong, bulan lalu.

“Bencana itu sebenarnya berpunca daripada hujan yang sangat lebat berlaku secara berterusan dalam tempoh lebih kurang tiga jam.

“Rekod taburan hujan sebanyak 67.5 milimeter (mm) dalam tempoh itu dikategorikan sangat lebat dan boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat,” katanya.

Keadaan terkini Sungai Tanglir, Bukit Tinggi di Bentong.

Beliau berkata, pihak JKNP akan meningkatkan pemantauan di kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Tinggi yang berkeluasan kira-kira 3,900 hektar berkenaan bagi mengelak kegiatan pencerobohan untuk aktiviti pertanian terus berlaku.

“Kemudahan pemantauan hutan oleh Remote Sensing (FMRS) dan dron turut digunakan bagi memantau kawasan hutan dan bukit yang sukar dimasuki.

“Tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 terhadap pihak yang bertindak menceroboh kawasan hutan simpan di negeri ini,” ujarnya.

Pada 12 Februari lalu, berlaku kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di sekitar Bukit Tinggi, di sini didakwa berpunca akibat penanaman halia Bentong secara berleluasa di lereng bukit. – MalaysiaGazette