Peguam mewakili tiga OKT, Mohamed Ashmeer Ashrof bercakap dengan sekumpulan media di luar bilik bicara.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 31 Mac depan bagi sebutan kes seorang pelakon drama tempatan yang juga pemilik sebuah kedai rokok elektronik (vape) yang didakwa mengedar ganja jenis ganja.

Selain pelakon yang juga model itu, tiga lagi rakannya juga turut didakwa atas tuduhan sama.

Keputusan sebutan itu ditetapkan Majistret Wong Chai Sia selepas Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan memaklumkan laporan kimia penuh berhubung pertuduhan itu masih belum diterima.

Suspek, Said Muhammad Ismail bersama dua lagi rakan dipercayai pekerja kedai vape itu Sarvinder Singh dan Delson Dean manakala seorang lagi, Muhammad Amir Hafiz Zamani adalah seorang penjual burger berdekatan kedai rokok itu.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh secara bersama mengedar ganja dengan anggaran berat 494 gram (g) di sebuah premis di Taman OUG Parklane  Off Jalan Klang Lama di sini pukul 9.34 malam pada 3 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut  Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan mana-mana individu yang melanggar peruntukan subseksyen (1) itu boleh dijatuhkan hukuman mati atau dikenakan sebatan minimum sembilan kali dan penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding hari ini, Said Muhammad , Delson Dean dan Muhammad Amir diwakili peguam, Mohamed Ashmeer Ashrof manakala Sarvinder Singh diwakili peguam Shastidaran Sathaiseelan.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, Mohamed Ashmeer berkata, anak guamnya, Said Muhammad sebenarnya tidak berada di kedai vape itu yang dipercayai telah mengedar dadah di kawasan itu.

“Kita sedang cuba dapatkan perintah jaminan daripada mahkamah. Buat masa ini kita tidak boleh buat apa-apa memandangkan keputusan ujian kimia belum keluar,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan empat lelaki terdiri daripada ahli sindiket menjual ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik atau vape berputih mata selepas ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan pertama dilakukan sekitar pukul 9.45 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Serbuan di premis terbabit, menemukan ganja seberat 494 gram (g) dan cecair ganja seberat 3,496 milimeter (ml).

Menurut polis, sindiket memproses cecair ganja berkenaan dijadikan cecair untuk vape berperisa ganja dan dijual dalam botol bersaiz 5ml dengan harga RM60 sebotol.

Turut difahamkan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 2,242 penagih.- MalaysiaGazette