Syed Razak.

SUNGAI PETANI – Mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, 79, meninggal dunia disebabkan masalah kesihatan.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi di kediaman keluarganya di Taman Anggerik di sini hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, jelas beliau, maklumat lanjut termasuk lokasi pengebumian belum diperoleh pihaknya setakat ini.

“Allahyarham adalah Menteri Besar Kedah kelapan dan mempunyai jasa yang besar kepada negeri ini. Ini adalah satu kehilangan yang besar bukan sahaja buat keluarganya malah kepada seluruh rakyat Kedah,” katanya.

Allahyarham Syed Razak yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada tahun 1999 dan memegang jawatan itu hingga tahun 2005.

Beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar akibat masalah kesihatan dan digantikan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid. – MalaysiaGazette