Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen pembangkang melahirkan rasa kecewa setelah mendakwa, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan berhubung royalti dan bayaran tunai kepada negeri-negeri yang memiliki petroleum.

Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) berkata, pembangkang kecewa dengan apa yang berlaku selepas mengharapkan menteri berkenaan menyebut isu yang paling banyak dibangkitkan.

“Tapi sayangnya menteri sampai sudah tak menjawab, tetapi digambarkan seolah-olah kita semua ni tidak faham.

“Itu satu ungkapan yang boleh mengundang kemarahan daripada pihak kita (pembangkang).

“Jadi, ini rakyat perlu faham kenapa kita bangkit hingga ada yang dihalau keluar dewan ialah kerana cakap menteri itu mengundang kemarahan kita.

‘Dalam masa yang sama dia banyak misslead dalam menggambarkan kita seolah-olah tak faham dan akhirnya digambarkan seolah-olah yang diberi kepada negeri-negeri pembangkang itu…itulah sahaja yang kita tuntut,” katanya pada sidang media di Lobai Parlimen, hari ini.

Menurut Ahmad Marzuk, pembangkang menuntut agar bayaran tunai dan royalti hasil daripada petroleum.

Justeru katanya, jika Rafizi seorang menteri yang tidak faham antara royalti dan tuntutan tunai, ia merupakan satu masalah.

Sementara itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian) berkata, pembangkang sebenarnya tidak mendapat peruntukan yang seimbang tidak sama seperti dikatakan oleh menteri.

Dengan memberikan contoh, Kedah yang dikatakan diberikan sebanyak 443 projek dengan peruntukan RM1.586 bilion; Kelantan sebanyak 4,025 projek dengan peruntukan RM2.4946 bilion; Terengganu  sebanyak 390 projek dengan peruntukan RM1.545 dan Perlis  sebanyak 153 projek dengan peruntukan RM560 juta.

Katanya, jika dicampurkan peratusan tersebut jumlah keseluruhannya hanya 17 peratus berbanding Sabah yang menerima sebanyak 18 peratus dan hanya satu negeri.

“Ini bukan soal dengki, tapi fakta, bahawa disebut negeri pembangkang diberikan kuota lebih 50 peratus.

“Ini yang kami bangkitkan, jawapan yang diberikan oleh menteri tidak tepat…speaker tadi berjanji nak dengar balik hansard, fakta ini sebenarnya mengelirukan dewan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast