Neymar. Foto Goal.com.

LONDON – Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar disahkan bakal terlepas baki saingan musim ini selepas mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan ligamen buku lali.

Berita itu diumumkan dalam satu kenyataan kelab Liga Perancis sambil memberitahu pembedahan tersebut akan dibuat di Doha, Qatar.

Prosedur tersebut memerlukan penyerang antarabangsa Brazil itu perlu berehat sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan.

Neymar telah menjaringkan 18 gol dan menyumbang 17 bantuan jaringan daripada 29 perlawanan dalam semua pertandingan pada musim ini.

Aksi terakhirnya adalah ketika PSG menewaskan Lille 4-3 pada bulan lalu dan diketepikan untuk dua perlawanan terakhir pasukan tersebut.

“Neymar Jr berdepan dengan beberapa episod ketidakselesaan pada bahagian buku lali kanannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ekoran daripada kecederaan terbaharunya pada 20 Februari lalu, staf perubatan mencadangkan agar pembedahan dijalankan secepat mungkin bagi mengelak daripada berlakunya risiko yang lebih tinggi. Kesemua pakar telah mengesahkan keperluan tersebut.

“Dia dijangka diketepikan untuk tiga hingga empat bulan sebelum kembali menjalani latihan,” tulis kenyataan itu.

Dalam pada itu, Neymar turut memberikan kata-kata ringkas menerusi satu ciapan di Twitter.

“Saya akan kembali lebih kuat,” ujarnya yang kemudian mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk nama-nama besar dalam bola sepak.

PSG kini sedang mendahului Ligue 1 dengan kelebihan lapan mata mengatasi pencabar terdekat Olympique de Marseille.

Mereka akan berdepan Bayern Munich untuk aksi timbal balik pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah di mana mereka kini ketinggalan 1-0 secara agregat. – Agensi