KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Sumber pendakwaan, yang mengesahkan perkara itu, berkata notis tersebut difailkan hari ini.

Pada 3 Mac lepas, Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa pendakwaan telah gagal mewujudkan satu kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntuk hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- BERNAMA