ALOR GAJAH – Kerajaan akan membina lebih banyak projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di seluruh negara bagi membantu meningkatkan produktiviti nelayan sekali gus menjamin bekalan makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha itu antaranya dilihat mampu menggalakkan nelayan Bumiputera di kawasan pantai aktif menangkap hasil laut di laut dalam.
“Dengan adanya PSN ini, kalau boleh untuk jangka panjangnya kita harap nelayan pantai Bumiputera ini lebih produktif ke laut dalam yang ketika ini banyak diusahakan nelayan bukan Bumiputera.
“Selain itu, kita juga harap nelayan pantai ini dapat terlibat dalam bidang akuakultur iaitu menternak ikan di kawasan tepi laut yang juga menjanjikan pendapatan lumayan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Nelayan di bawah projek PSN negeri di Perkampungan Nelayan, Kuala Sungai Baru Ilir, Masjid Tanah di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Yusoff Othman, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, setakat ini sebanyak 1,772 buah rumah nelayan telah dibina di 13 lokasi seluruh negara antaranya di Kedah, Pahang, Terengganu dan Perak.
“Di Melaka sahaja, kita telah membina 60 unit PSN jenis rumah berkembar di atas tanah seluas 5.6 hektar yang dibeli nelayan pada harga subsidi RM45,000 sebuah berbanding harga sebenar RM70,000.
“Kita akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyediakan tanah supaya lebih banyak PSN dapat dibina di seluruh negara supaya keluarga nelayan dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa,” katanya. – MalaysiaGazette.