KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan empat strategi bagi mengangkat dan memposisikan semula program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program TVET terutama di politeknik dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan dijadikan lebih menarik, kompetitif dan berkuali.
Melalui strategi pertama, program-program TVET dalam sektor pendidikan tinggi diselaraskan kembali agar lebih menekankan High Tech, High Art dan High Touch.
“Ketiga-tiga aspek ini adalah suatu cakupan yang berasaskan kepada perkembangan semasa teknologi dengan menggabungkan kedinamikan pelbagai disiplin ilmu.
“Ia membolehkan lepasan institusi TVET kita bukan sahaja relevan dengan tuntutan pasaran. Malah, mempunyai kelebihan yang melayakkan mereka menerima pekerjaan dan kadar upah yang bermaruah,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasa Belanjawan 2023 di peringkat dasar.
Strategi kedua merancakkan konsep industry-led polytechnic iaitu politeknik yang diterajui oleh pihak industri.
Melalui strategi itu, kementerian menyasarkan institusi TVET dan universiti awam mempunyai hubungan yang akrab dan serius dengan pihak industri.
Menurut Mohamed Khaled, pihaknya bersedia untuk mengambil langkah yang lebih radikal dan berdaya saing dengan membolehkan kampus-kampus atau sesetengah program pengajian diterajui dan dikendalikan pihak industri secara langsung.
“Kita percaya kesemua perkara ini akan dapat membantu mengurangkan mismatch antara program pengajian kita dan keperluan industri di luar,” tegas beliau.
Memudahkan kemasukan ke institusi TVET merupakan strategi ketiga bagi mengangkat dan memposisikan semula program tersebut.
Beliau berkata, Kementerian sedang memperhalusi saranan serta keperluan untuk mempunyai saluran permohonan kemasukan yang lebih tersusun dan bersepadu seperti Unit Pusat Universiti (UPU).
Pihaknya juga mempertimbangkan saranan mengenai pengambilan secara terus atau direct intake lepasan Sijil Pelajaran Malaysia ke MTUN.
Strategi keempat bagi memperkemas ekosistem program TVET di bawah KPT adalah dengan membenarkan pemindahan kredit adaripada program diploma Politeknik ke dalam program ijazah MTUN.
Kementerian akan membenarkan lepasan diploma institusi
TVET dari politeknik untuk menyambung pengajian peringkat ijazah di universiti-universiti teknologi atau MTUN dengan pemindahan kredit.
“Ini bermakna, tertakluk kepada program dan kesetaraan bidang yang diambil, lepasan diploma Politeknik boleh terus memulakan pengajian mereka pada semester ketiga atau tahun kedua di MTUN.
“Kita mensasarkan agar sistem ini akan turut membantu menarik minat pelajar untuk menyertai politeknik, memendekkan masa pengajian sekali gus memulihkan nisbah penyertaan dalam bidang sains yang menyaksikan penurunan penyertaan dan enrolmen,” kata Mohamed Khaled.- MalaysiaGazette