Rafizi Ramli.-Foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan boleh menghapuskan miskin tegar melibatkan 136,000 keluarga dalam tempoh sehari dengan menyediakan bantuan tunai RM1,500 kepada mereka setiap bulan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, bagaimanapun cara tersebut tidak akan menyelesaikan masalah miskin tegar kerana kumpulan itu akan terus bergantung bantuan tunai daripada kerajaan.

“Memang kita boleh hapuskan miskin tegar mengikut statistik dalam tempoh satu hari.

“Kita ada 136,000 keluarga dalam pangkalan e-Kasih untuk keluar dari miskin tegar makna pendapatan miskin tegar mesti RM1,500 sebulan kerana garis kemiskinan tegar RM1,200.

“Boleh dibuat (beri bantuan tunai) tiap-tiap bulan tetapi itu juga bermakna mereka akan terus berada dalam satu sistem yang bergantung kepada sistem bantuan. Itu tidak akan menyelesaikan masalah,” kata Rafizi di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Maran (PN) Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib  yang bertanya komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menamatkan miskin tegar di negara ini.

Rafizi berkata, jika pun kerajaan boleh memberi bantuan tunai RM1,500 kepada keluarga miskin tegar terbabit kumpulan baharu akan wujud.

Ini kerana garis pendapatan miskin tegar mungkin naik daripada RM1,200 sekarang kepada RM1,400.

“Kita sedang memuktamadkan pendapatan 2022 sudah tentu garis kemiskinan naik dari RM1,200 mungkin kepada RM1,400. Kalau naik mungkin ada kumpulan yang baharu.

“Paling kurang mereka yang telah melalui proses ini tidak lagi jatuh (berulang). Maka program yang mensasarkan miskin tegar akan terus kepada kumpulan baru, bukan beri bantuan kepada mereka yang terpaksa bergantung kepada campur tangan kerajaan,” tegas beliau.

Sementara itu Rafizi berkata, Kementerian Ekonomi telah menerima pelbagai maklum balas dan sambutan yang menggalakkan berkaitan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Menurutnya, kementerian telah menerima 24,000 permohonan sejak dilancarkan dan mensasarkan 130,000 penyertaan daripada keluarga miskin tegar.

Di bawah IPR, sebanyak 3 inisiatif rintis telah diperkenalkan iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Inisiatif ini melibatkan kerjasama antara Kerajaan, rakyat dan rakan-rakan strategik melalui whole-of-nation approach merentasi ekosistem rantaian nilai dalam usaha menangani kemiskinan dan ketidaksamaan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021 – 2025 (RMKe-12) serta prinsip Ihsan dalam Kerangka Dasar MADAI.-MalaysiaGazette