Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penjadualan semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 akan dilaksanakan pada 16 hingga 22 Mac ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya memaklumkan penjadualan semula itu melibatkan calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan kerana terkesan dengan bencana banjir dan calon yang disahkan positif COVID-19.

“Penjadualan semula bagi calon yang terlibat akan diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” menurut kenyataan itu malam ini.

Menurut KPM maklumat berkaitan tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan yang perlu diduduki akan dimaklumkan oleh JPN kepada calon serta sekolah yang terlibat.

Selain itu, calon turut dinasihatkan untuk menghubungi talian bilik gerakan Lembaga Peperiksaan (LP) dan JPN di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai penjadualan semula peperiksaan SPM 2022.

Kenyataan itu memaklumkan pihak kementerian akan terus memantau situasi banjir dan persediaan dari segi logistik, kesiapsiagaan pusat peperiksaan dan pelantikan petugas peperiksaan bagi memastikan penjadualan semula itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

“KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA