Kumpulan penyelidik dari FTKMP dan FKM, UTeM telah berjaya membangunkan produk inovasi bekas plastik mesra alam yang dihasilkan daripada ubi kayu dan daun pisang.

MELAKA – Sekumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal berjaya membangunkan produk inovasi bekas plastik berasaskan ubi kayu dan daun pisang.

Ketua Penyelidiknya yang juga Pensyarah Kanan FTKMP Dr Ridhwan Jumaidin berkata bekas plastik berbentuk dulang itu boleh digunakan untuk pembungkusan produk selain mesra alam dan mengurangkan implikasi pencemaran alam sekitar.

Beliau berkata projek pembangunan produk inovasi itu mengambil masa lebih kurang setahun menerusi dana geran penyelidikan jangka pendek dan ia dijangka menjadi bahan utama dalam penghasilan produk sekali guna yang dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Produk plastik ini bebas daripada toksik dan bahan kimia berbahaya jika dibandingkan dengan plastik biasa yang sering digunakan pada masa ini kerana bahan asas penghasilannya adalah petroleum sekali gus menghasilkan toksik apabila dilupuskan melalui pembakaran.

“Plastik sintetik daripada petroleum ini tidak boleh lupus jika dibuang ke tanah, sungai atau laut manakala plastik berasaskan ubi kayu dan daun pisang boleh lupus hanya dalam tempoh lapan minggu sahaja sekiranya ditanam dalam tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Produk yang dihasilkan dengan pelbagai bentuk.

Ridhwan berkata produk inovasi itu juga bersifat termoplastik iaitu boleh dikitar semula dan menghasilkan bentuk produk berbeza sekali gus dapat menjimatkan sumber yang digunakan dan memberi nilai tambah padanya.

Beliau berkata idea awal membangunkan produk inovasi berkenaan tercetus apabila menyedari realiti keadaan alam sekitar pada masa ini yang semakin tercemar akibat pembuangan sisa plastik yang tidak lupus terutama di sungai, laut dan tanah.

Katanya situasi tersebut membahayakan keseimbangan alam semula jadi, flora dan fauna seperti kes penemuan plastik di dalam perut penyu dan paus malah bahan itu menjadi punca utama kematian hidupan berkenaan.

Menurut Ridhwan cabaran utama menghasilkan produk inovasi itu ialah mendapatkan kestabilan dan kekuatan bahan dan daun pisang yang menjadi teras dan struktur peneguhnya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudin berkata sebagai universiti teknikal berprestij, UTeM menerusi kumpulan penyelidiknya terus kreatif membangunkan produk inovasi yang memberi impak kepada komuniti sejagat.

“Penyelidikan yang dijalankan sentiasa mengikuti arus semasa dan UTeM sentiasa bersama menerajui gelombang pemodenan teknologi yang berlaku di peringkat nasional dan global,” katanya.- BERNAMA